Saturday, December 26, 2009

Kunta Kinte: Jangan jadi macam budak jaga kambing


Aset, rahsia tentera perlu dipertahan daripada penderhaka khianat

DALAM kolum ini, Kunta Kinte ada buat cadangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) guna balik jet pejuang F-5E Tiger yang sudah disimpan dalam stor lebih 10 tahun.

Kunta Kinte kata janganlah cepat sangat nak beli kapal terbang baru pasal mahal dan ekonomi negara dalam keadaan yang lemah.


Lagipun, jet F-5E yang kita simpan tu masih diguna oleh banyak lagi tentera udara, termasuk dari negara maju dan kaya raya macam Amerika Syarikat dan Switzerland sebagai pesawat penggempur dan pelatih.

Duduk tak duduk, minggu lalu surat khabar kita siar berita kata sebuah enjin pesawat itu dah 'dicuri' dan 'dijual.' Macam biasa, sibuklah orang yang berkuasa dan bertanggungjawab buat alasan dan janji itu dan ini.

Duduk tak duduk, sebuah enjin jadi dua. Kemudian bukan saja enjin yang hilang, barang ganti pun hilang juga. Bukan sebuah enjin atau dua enjin yang jadi soal. Bukan kapal terbang simpan atau kapal terbang aktif. Dan bukan harga RM1 atau RM50 juta.

Soalnya ialah, macam mana anggota tentera yang kita gelar perwira boleh jadi pencuri, pengkhianat dan penderhaka?

Jangan main-main, dalam undang-undang negara kita, kesalahan khianat dan derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.


Ingat lagi empat anggota al-Ma'unah yang digantung sampai mati pada 2006 atas tuduhan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dengan mencuri senjata tentera dan memberontak pada Julai 2000?

Waktu itu, bos politik dan bos tentera dah berjanji, bersumpah tentera tidak akan cuai lagi sampai senjata disamun oleh penjahat. Sekarang penjahat dan pencuri dari dalam selimut sendiri. Apa nak kata?

Apa yang mereka buat dengan 'pencuri' enjin kapal terbang itu? Mereka buang kerja atau suruh bersara awal. Aduhai, macam tak ada apa-apa yang buruk berlaku. Tak ada perbicaraan tentera (court martial). Habis hebat pun siasatan dalaman dan tindakan disiplin.

Selalunya orang macam ini dikenakan 'court martial' atau setidak-tidaknya pun diserah kepada polis, ditangkap, disiasat dan dihadapkan ke mahkamah awam. Yang kita dengar, lepas berita ini meletup barulah mereka sibuk cerita fasal laporan dan siasatan polis.

Kunta Kinte nak tanya dengan ikhlas. Di mana kita orang Melayu dan Islam nak letak muka? Anggota tentera kita majoritinya Melayu. Komander pun Melayu. Tak cukup dengan itu, ada pula Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat). Ketua Kor Agama bila pencen ramai jadi menteri.

Dulu kala pegawai dilatih di Akademi Tentera Sandhurst di England, negeri orang kafir. Dulu ada yang minum arak dan joli. Sekarang arak dah haram dan masjid serta surau ada di semua kem tentera. Tapi anggota tentera jadi pencuri, pengkhianat dan penderhaka.

Apa nak jadi dengan kita atau dah jadi dengan kita, dengan keselamatan negara kita, maruah orang Melayu dan agama Islam?

Ini bukan kisah seekor kerbau yang bawa lumpur. Kerbau haiwan. Tak ada otak. Kerbau yang jahat boleh disebat atau disembelih. Ini kisah manusia. Bukan sembarangan manusia, tetapi manusia berpakaian seragam yang diberi amanah, tanggungjawab dan sanjungan. Apa yang mereka buat? Mereka mengkhianati amanah, tanggungjawab dan sanjungan kita.

Tak payah banyak cakaplah. Tak payahlah nak cari alasan dan tuduh orang itu dan ini. Mengaku saja yang satu perkara sangat buruk dan menjijikkan sudah terjadi. Ambil tindakan tegas. Bos-bos yang tidur dalam tugas tu pun mengaku sajalah dan minta maaf kepada rakyat jelata.

Kunta Kinte tak mahu suruh mereka letak jawatan pasal ini tidak akan berlaku. Orang kita bila dia dapat jawatan, dia peluk sampai mati atau sampai ditolak pengundi. Dia tak akan lepas walaupun dia gagal jalankan tugas. Ini sikap feudal orang kita. Mereka ingat itu hak turun-temurun mereka.

Jadi Kunta Kinte kata, tak kira bos politik, bos tentera, bos polis atau Peguam Negara tak payahlah cakap dan janji banyak lagi. Macam ini sajalah. Siapa yang makan cabai, bukan saja mulut dia akan rasa pedas. Perut dia pun akan rasa pedas dan bila buang air besar, saluran najis turut rasa pedih. Apatah lagi kalau makan cili padi dengan tempoyak berulamkan petai. Pedas ada, busuk pun ada.

Kunta Kinte takut satu saja. Ini yang kita tahu. Apa halnya dengan aset dan kelengkapan tentera yang lain? Apa halnya dengan maklumat dan rahsia ketenteraan? Nak curi enjin kapal terbang susah sebab benda itu besar dan orang nampak. Tapi maklumat dan rahsia negara?

Tolonglah fikir. Jangan cakap saja nanti orang tak percaya macam budak jaga kambing yang suka menjerit serigala, serigala, serigala!


No comments:

CHAT kAT siNi sKOt

panduan menjana pendapatan hebat di eBay Percuma!!!
Free chat widget @ ShoutMix

Find more photos like this on segenting camp