Blog ini adalah untuk membantu memasarkan produk jualan kawan dan sahabat lama di Armed Forces Apperantice Trade School pada 1988-1990. Semoga support anda kepada kami mendapat balasan kebaikan dari Allah SWT
Thursday, October 30, 2008
Skot Kita Fizal
Tuesday, October 28, 2008
70 Dosa-Dosa Besar
70 Dosa-Dosa Besar
1. Syirik (secara tak sedar pun ada...tapi dah selalu....jadi laa DOSA BESAR)
2. Membunuh Manusia
3. Sihir
4. Tinggal Sembahyang (yang selalu di lakukan)
5. Tidak Mengeluarkan Zakat
6. Tidak Berpuasa (yang selalu di lakukan)
7. Tidak Mengerjakan Haji Walaupun Berkemampuan
8. Derhaka Kepada Ibu Bapa (yang selalu di lakukan)
9. Memutuskan Silatulraham
10. Berzina (individu tertentu)
11. Homosex
12. Memakan Riba
13. Memakan Harta Anak Yatim
14. Mendustakan Allah S.W.T dan Rasul
15. Lari dari Medan Perang
16. Sombong (yang selalu di lakukan)
17. Saksi Palsu
18. Meminum Arak (individu tertentu)
19. Pemimpin Yang Penipu dan Kejam
20. Berjudi (yang selalu di lakukan-secara tak sengaja)
21. Menuduh orang baik melakukan Zina
22. Menipu harta rampasan Perang
23. Mencuri
24. Merompak
25. Sumpah Palsu (HOT)
26. Berlaku Zalim
27. Pemungut cukai yang Zalim
28. Makan dari kekayaan yang Haram (skim2)
29. Bunuh Diri
30. Berbohong (yang selalu di lakukan)
31. Hakim yang Tidak adil (HOT)
32. Rasuah (HOT)
33. Wanita yang menyerupai Lelaki (dah banyak)
34. Tidak Cemburu
35. Cina Buta
36. Tidak Suci Hadas kecil
37. RIAK Mempamerkan Diri (yang selalu di lakukan)
38. Ulamak Dunia (jahat)
39. Khianat (yang selalu di lakukan)
40. Mengungkit- Ungkit Pemberian (yang selalu di lakukan)
41. Mangingkari Takdir
42. Mencari Kesalahan Orang lain (yang selalu di lakukan)
43. Menabur Fitnah (yang selalu di lakukan)
44. Mengutuk Umat Islam ( HARI-HARI)
45. Mengingkari Janji (individu tertentu)
46. Percaya Kepada Sihir dan Nujum
47. Derhaka kepada Suami (amalan isteri)
48. Gambar pada Baju (hari-hari)
49. Menamparkan pipi dan meratap jika terkena bala
50. Menggangu Orang lain (hari-hari)
51. Berbuat Zalim terhadap yg lemah
52. Menggangu Tetangga
53. Menyakiti dan Memaki Orang Islam (HOT)
54. Derhaka kepada Hamba Allah S.W.T dan menggangap dirinya baik
55. Melabuhkan Pakaian
56. Lelaki yang memakai Sutera dan Emas
57. Hamba Lari dari Tuan
58. Sembelihan Untuk Selain Dari Allah S.W.T
59. Menjadi Pak Sanggup (HOT)
60. Berdebat dan Bermusuh (HOT kat media)
61. Enggan Memberi Kelebihan Air
62. Mengurangkan Timbangan
63. Merasa Aman Dari Kemurkaan Allah S.W.T
64. Putus Asa Dari Rahmat Allah S.W.T
65. Meninggalkan Sembahyang Berjemaah (hari-hari)
66. Meninggalkan Sembahyang Jumaat (sentengah individu jgn lebih 3 kali dah laa....idea dan fatwa bodoh)
67. Menguragi Wasiat
68. Menipu (Hari-hari)
69. Mengintip Rahsia dan Membuka Rahsia Orang Lain
70. Mencela Nabi dan Sahabat
Sunday, October 26, 2008
[ PUISI ] Relevan
Apakah bacaanku
Relevan
Ada semacam satu kegilaan baru
Di mana-mana sahaja kuarahkan wajahku
Semuanya relevan untuk puisi mutakhirku
Tiba-tiba warna kemanusiaan yang kulukis
Dan yang tercokol di hadapanku
Tuntas dan cocok.
Seorang penarik beca kini bisa bicara
Yang relevan dan mengenai yang relevan
Seorang penoreh getah di estet juga bicara
Yang relevan dengan dunianya
Orang-orang yang menjadi penunggu warung cerita
Semuanya relevan
Tanpa menolehkannya wajah mereka
Dari papan dam haji
Hilaian mereka terus relevan
Menusuk nurani ini
Apakah aku melihat satu kebejatan
Yang juga relevan.
Lantas aku bertanya
Siapa yang mengajar mereka
Hingga semuanya kenaldan jadi relevan
Dalam perhitunganb mereka dunia ini milik siapa
Penarik beca penoreh getah dan penghuni warung
Hanyalah entiti kecil dan apakah kita harus
Mengeyahkan tassawur mereka
Kerana pada perkiraan kita hanyalah suara sifar
Atau kita gagal menterjemahkan bisikan mereka
Di atas kanvas lukisan yang relevan.
Mungkinkah kita sudah kehilangan keyakinan di hati
JIwa yang terlena oleh kilauan duniawi
Hingga kita tak bisa mengongsi kicauan beburung pagi
Sedangkan apabila kita dekati
Mereka
Mereka adalah sebahagian daripada kita
Walaupun mereka tidak punya modal
Kalau itu sifir kebahagiaan
yang kita kejar selama ini
maka apakah yang akan lebih relevan
selain insaf
perjalanan yang kita lalui semuanya
adalah yang relevan
Dan satu hari akan dihisab kembali
Di hadapan pencipta segalanya
Ini.
RAMLI ABDUL RAHIM
26 Julai 1999
Dewan Sastera
Edisi Januari 2000
Saturday, October 25, 2008
Rahsia Jadi Ayah Yang Berkesan
Rahsia Jadi Ayah Yang Berkesan
BEBERAPA kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap
kejayaan anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan
dalam Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya:
Bayi yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu
pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.
Anak yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen
‘penyelesai masalah’ yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak yang
tidak dipedulikan oleh ayahnya.
Apabila anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta
sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih
berinisiatif dan mampu mengawal diri.Kanak-kanak yang mempunyai hubungan
rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang remaja
dan orang dewasa yang seimbang.
Anak yang tidak berbapa.
Kajian menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan
rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi pembelajaran
anak-anak.
Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:
Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.
tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.
Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran,terbabit
dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.(Sumber:
Pusat Kebapaan Kebangsaan)
Enam rahsia menjadi ayah yang berkesan.
Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah
cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga
Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’
ada tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan:
1. Bapa yang komited dan bertanggungjawab.
Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kena pasti
apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu
anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka.
Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang
untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai
melakukan tugas anda di rumah. Selalu memeriksa dan memantau apakah anda
telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang
bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah
cemerlang!
2. Kenali anak anda.
Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda.
Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan,
kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama kawan
mereka serta pembawaan masing masing.Kenal pasti apa yang selalu
mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi
motivasi dan perangsang kepada merekal Istiqamah (tetap pendirian) .
Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin
serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap
pendirian serta konsisten.
Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan
terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri
dalam acara kekeluargaan) ; kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa
bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan
teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.
3 Melindungi, menyara dan mendoakan.
Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang
positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling
penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak boleh
menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan
mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis.
Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.
4 Mencintai ibu mereka.
Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu
hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai
anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan
hadiah terbaik untuk anak. Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang
sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati,
bekerjasama dan berkasih sayang.
5 Menjadi pendengar yang baik.
Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia.
Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada
mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.
6 Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian.
Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan
amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama
dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah mereka bersama-sama
menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang
dicintai Allah di bumi dan langit.
Wednesday, October 22, 2008
Fizal Pucat Skot Kita
Monday, October 20, 2008
Sembahyang juga boleh rawat penyakit kritikal
Sembahyang juga boleh rawat penyakit kritikal
Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my
Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains. |
HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.
Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.
Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot
Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.
Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.
"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh," katanya.
| Dr Fatimah meneliti kertas bacaan ujian yang keluar dari alat analisis penyepadanan bio. |
Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.
Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.
Ng Siew Chok - Isyarat Otak
Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.
"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya
Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.
"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah," katanya.
Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.
Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.
Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.
Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh
Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.
Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.
"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain," katanya.
Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.
Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.
Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.
"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.
"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif," katanya.
Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.
Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.
Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.
Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.
Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.
Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.
"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat," katanya.
Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.
Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.
"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal," katanya.
Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit
Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.
"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.
Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.
Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.
SOLAT ADA NILAI TERAPEUTIK
Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my
KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.
SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.
Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.
Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?
Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.
Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
| Ng Siew Chok memakaikan topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak. |
Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.
Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.
Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.
Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.
| SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia. |
"Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh," katanya.
Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains' terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.
Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.
Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.
Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.
Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.
Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.
Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.
"Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran," katanya.
Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu.
Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.
Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.
Sunday, October 19, 2008
ARAH EKONOMI KAPITALIS
Hari ini ekonomi kapitalis sedang menghadapi satu krisis yang amat besar. Kemungkinan dunia kita hari ini di bawa kembali ke zaman meleset sama seperti tahun 1929 dahulu cukup cerah.
Ahli-ahli Dewan Congress Amerika telah meluluskan dana negara sebanyak 700 bilion dolar untuk membantu lembaga-lembaga bank yang berkemungkinan jatuh muflis. Di Britain Gordon Brown telah juga meluluskan 500 bilion sterling pound untuk tujuan yang sama. Sebuah lembaga penyimpan/peminjam dana – Northern Rocks – telah di hak miliknegarakan oleh kerajaan Parti Buruh Gordon Brown.
Dari mana asal usul krisis yang menghimpit ekonomi kapitalis ini ?
Semua ini berpunca dari asas ekonomi kapitalis yang mengajukan dasar neoliberalisma. Ertinya ekonomi kapitalis yang mengenepikan peranan daulah/state dan membuka pasaran bebas. Amerika Syarikat negara kapitalis terunggul di dunia telah mengenepikan sistem wang yang bersandarkan emas. Ini berlaku pada tahun 1971 apabila Presiden Nixon memansuhkan Bretton Woods Agreements.
Perjanjian ini dimansuhkan ketika kuasa imperial Amerika sedang melancarkan perang kolonial terhadap Vietnam, Laos dan Kamboja. Perang Indo-China ini telah membocorkan dan mengkoyak rabakkan ekonomi Amerika. Berbilion dolar telah digunakan dalam usaha sia-sia untuk mengalahkan gerakan nasionalis di bawah pimpinan Ho Chi Minh. Perang memerlukan perbelanjaan yang amat tinggi – nyawa dan harta benda.
Yang menjadi ganti Bretton Woods Agreements ialah Dolar Amerika. Negara-negara kapitalis terutamanya negara di Asia, Afrika dan Latin Amerika telah di paksa menerima pakai ‘fiat money’ yang hanya bersandarkan kepada kekuatan ekonomi Amerika. Justeru semua jual beli diantara negara-negara kapitalis terutama jual beli bahan bakar petrolium wajib menggunakan dolar Amerika.
Hasil awal dari tindakan dasar ekonomi ini telah menyelamat ekonomi Amerika yang mula merundum pada tahun-tahun 70’an. Ekonomi kapitalis Amerika dapat bernafas semula dan berkembang.
Rupa-rupa langkah Presiden Nixon itu hanya untuk membeli masa. Tiga puluh tahun kemudian semuanya berulang kembali. Amerika kini sedang melancarkan perang kolonial terhadap Iraq dan Afgahnistan. Kalau pada tahun 1971 Perang Vietnam melimpah ke Laos dan Kamboja, kini tahun 2008 Perang Iraq/Afghanistan telah melimpah ke Iran dan Pakistan.
Sebelum serangan ke atas Iraq bermula, Rumah Putih secara ‘romantik ‘ telah memberi anggaran 50 bilion dolar sebagai belanja perang. Hari ini angka resminya telah mencecah hampir 600 bilion dolar. Perang di Iraq memerlukan 300 juta dolar sehari. Ada yang menganggarkan diantara 1 hingga 2 bilion dolar seminggu akan digunakan di Iraq.
Seorang pakar ekonomi Linda Bilmes dari Kennedy School of Government di Harvard, dan Joseph Stiglitz pemenang hadiah Nobel laureate Ekonomi yang juga bekas penasihat ekonomi Bill Clinton telah meletakkrer44+++aaaan harga 2 trilion dolar sebagai belanja perang di Iraq hingga ke hari ini.
Justeru peperangan di Iraq dan Afghanistan ini sedang mengancam ekonomi Amerika dan ekonomi dunia kapitalis – sama seperti ancaman di zaman Perang Vietnam dahulu.
Dalam masa yang sama dasar neoliberal juga telah memberi ancaman yang sama. Banyak peraturan jual beli, peraturan urus niaga yang menjaga kepentingan negara-negara kecil telah di lupuskan atas paksaan perjanjian World Trade Organisation ((WTO ) atau atas nasihat Bank Dunia.
WTO dan Bank Dunia adalah dua lembaga yang di wujudkan oleh kuasa imperial Amerika untuk memastikan kepentingan ekonomi Amerika berjalan lancar tanpa ganguan. Dua lembaga ini mengajukan dasar-dasar neoliberal dan memastikan pasaran dibuka seluas mungkin untuk kaum pemodal.
Peraturan dan perjanjian yang dilihat tidak menguntungkan kaum pemodal akan dihapuskan. Negara-negara Dunia Ketiga tidak dapat bertahan dari serangan dasar PENSWASTAAN yang dipaksakan ke atas mereka oleh WTO dan Bank Dunia.
Selain dari belanja perang dan dasar neoliberal ini - ekonomi kapitalis juga sedang berhadapan dengan masaalah struktur sistem kapitalis ini sendiri. Di zaman meleset tahun 1929 dahulu, Amerika tidak berperang tetapi berhadapan dengan masaalah keyakinan terhadap lembaga-lembaga bank.
Kali ini keyakinan terhadap lembaga bank datang kembali bersama bencana perang – dua-dua datang sekali harung. Memang betul jika diperhatikan ekonomi kapitalis ini ada putaran jatuh/bangun setiap sepuluh tahun – 1974 – 1988, 1997, 2008 - tetapi kali ini bebeza. Ini bukan pusingan krisis sepuluh tahun sekali lagi. Ianya lebih dari itu.
Dunia kapitalis bukan sahaja berhadapan dengan pengeluaran yang berlebihan (surplus production) malah strukturnya telah hampir hancur. Rakyat dunia tidak lagi mahu menerima dolar sebagai wang tukaran. Apabila dolar tidak lagi di yakini, maka nilai dolar jatuh.
Dalam suasana nilai dolar jatuh, Federal Reserve – badan swasta yang berhak mengeluarkan dolar – mengambil jalan pintas. Federal Reserve terus mencetak dolar untuk dijadikan bahan export utama Amerika. Hasilnya ada lambakan dolar di pasaran dunia. Bila dolar melambak maka nilainya semakin merosot. Ini samalah seperti apa yang pernah terjadi kepada ibu dan ayah kita dengan Duit Batang Pisang di zaman Jepun menjajah Tanah Melayu pada tahun 1941-1945 dahulu.
Untuk memastikan dolar terus di terima pakai, kuasa imperial telah menggunakan ancaman kekuatan tentera untuk memastikan jual beli terutama bahan bakar petrol akan terus dinilai dengan dolar. Harus dingati salah satu sebab kenapa Saddam Hussein dijatuhkan ialah kerana Saddam telah meninggalkan dolar dalam hal jual beli minyak. Iran, yang kini dianggap musuh, telah juga meninggalkan dolar dan beralih kepada Euro dalam hal jual beli minyak petrol. Langkah yang sama juga sedang diambil oleh Russia. Langkah meninggalkan dolar negara-negara ini terus membantu penurunan nilai dolar.
Satu lagi musibah yang sedang menyerang sistem ekonomi kapitalis ialah munculnya – perniagaan bentuk baru. Perniagaan ini bukan membuat sesuatu atau menghasilkan sesuatu barangan. Kalau kita memotong getah, hasilnya ialah getah. Kalau kita memburuh menanam padi hasilnya ialah beras.
Perniagaan bentuk baru- tidak membuat apa-apa barangan - ianya hanya membuat spekulasi tentang tentang harga barangan masa depan dan nilai mata wang dari sebuah negara ke sebuah negara. George Soros, nama yang dikenali di Malaysia hanya salah seorang dari beratus-ratus peniaga bentuk ini.
Perniagaan ini lebih tepat kalau kita kenali sebagai – berjudi/betting. Berniaga mata wang ini tidak produktif. Ianya tidak menghasilkan apa-apa barangan/products. Jenis perniagaan ini muncul hasil dari dasar neoliberalisma. Perniaga jenis ini akan berbondong ke hulu ke hilir dalam dunia global mencari pasaran untuk berjudi.
Kita tidak nampak mereka kerana mereka semuanya bersarang di Wall Street New York dan di City of London. Mereka bebondong-bondong tetapi tidak bergerak. Mereka hanya mengalihkan angka dana mereka melalui internet. Tidak ada wang ringgit yang masuk, tetapi jika mereka menang ‘judi’ maka harta dan titik peluh kita ke kantung mereka. Inilah yang berlaku pada tahun 1997 dahulu.
Dalam masa kurang lebih 6 bulan krisis ekonomi kapitalis ini akan sampai kepada kita. Di Amerika dan Eropah pada masa ini sedang berhadapan dengan zaman meleset. Rakan niaga kita di Amerika Utara dan di Eropah akan mengurangkan permintaan. Apabila ini berlaku maka banyak pabrik dan kilang akan ditutup. Banyak yang akan hilang pekerjaan.
Inilah hakikat krisis ekonomi global kapitalisma.
Sekarang para pemimpin kita wajib membuat satu dasar ekonomi baru yang bersandarkan kepada ekonomi pertanian. Bumi Hijau seharusnya dijadikan dasar oleh Pakatan Rakyat. Bumi Hijau bermakna kita mengajukan penanaman bahan-bahan makanan dan bukan pembuatan barangan. Apabila zaman meleset sampai kita memiliki beras yang cukup. Kita memiliki sayuran, ikan, daging, bijirin dan buah-buahan yang cukup.
Kita pasti tidak dapat makan Proton. Kita tidak dapat makan komputer chips kerana ianya bukan potato chips. Dengan asas ekonomi pertanian yang kukuh pasti sedikit sebanyak akan dapat membantu orang ramai dari dilanggar zaman meleset yang akan sampai tidal lama lagi.._,_
BINGKISAN DARI YAMAN
Perairan Aden yang bergelora dalam tenang
Oleh: Imran al-Malizi
Aden merupakan salah satu lokasi pelabuhan strategik yang juga merupakan bandar lama di negara Yaman. Bandar ini berada di satu semenanjung yang terbentuk secara semula jadi kesan daripada tinggalan gunung berapi yang tidak lagi aktif. Permukaan buminya itu sangat sesuai berfungsi sebagai sebuah pelabuhan utama para pedagang di zaman silam. Pemandangan bandar lama ini sungguh klasik dengan penempatan rumah-rumah dan binaan lama yang memahat lereng-lereng gunung. Pelabuhan ini pertama kali digunakan semasa pemerintahan kerajaan purba Awsan di antara tahun ke 5-7SM. Pelabuhan yang moden pula mengambil peranan bersebelahan semenanjung itu. Populasi penduduknya kini sudah melebihi 800,000 orang.
Bagi datuk nenek kita yang pernah naik haji dengan menaiki kapal yang belayar membelah lautan, pasti mereka akan bercerita tentang pelabuhan Aden yang menjadi persinggahan jemaah haji sebelum tiba ke Jeddah. Bagi para pelajar di Yaman yang ingin berlibur di waktu cuti pula, Aden boleh dianggap sebagai lokasi yang sangat ideal. Terutamanya bagi mereka yang gemar memancing ikan atau ingin mengutip kepah di persisiran pantai. Boleh dikatakan Aden adalah destinasi pelancongan yang utama walaupun pantainya tidaklah seindah Pulau Pangkor, Pulau Tioman atau Langkawi di negara kita dan cuacanya agak panas.
Namun begitu, lautannya yang tenang itu sesekali bergelora dengan insiden-insiden yang tidak dijangka. Masyarakat antarabangsa telah mengetahui tentang kejadian letupan kapal perang Amerika Syarikat USS Cole yang berhenti di situ untuk mengisi minyak pada 12 Oktober 2000. Yang terbaru, kita telah mengikuti drama tebusan kapal dagang MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 milik syarikat perkapalan negara, Malaysian International Shipping Corporation Berhad (MISC). Drama yang mencemaskan itu bermula pada 19 Ogos 2008 apabila kapal MT Melati 2 dirampas oleh lanun-lanun dari Somalia. Sepuluh hari kemudian pada 29 Ogos 2008 pula kapal MT Melati 5 pula yang membawa 30,000 MT bahan petroleum yang bertolak dari Yanbu, Arab Saudi dalam perjalanan melepasi Laut Merah menuju ke Singapura turut dirampas oleh lanun-lanun itu di Teluk Aden, perairan yang terletak di antara Somalia dan Yaman. Hasil perundingan yang dilakukan dengan penuh waspada, akhirnya pihak MISC telah berjaya menyelamatkan nyawa anak-anak kapal mereka. Walaupun drama ini sudah tamat dengan kepulangan mereka ke Malaysia pada 4 Oktober lalu, kejadian ini sekurang-kurangnya telah meninggalkan kesan dalam minda masyarakat antarabangsa bahawa perairan Teluk Aden yang merupakan pintu masuk ke Laut Merah ini bukanlah satu laluan selamat walaupun dianggarkan lebih 20,000 jumlah kapal melaluinya menuju ke Terusan Suez pada setiap tahun.
Persoalannya mengapa ini terjadi? Ada pendapat mengatakan bahawa lanun-lanun ini mahu memberi malu kepada kerajaan Somalia yang lemah dan mengamalkan pemerintahan tidak demokratik dan kuku besi. Ini diburukkan lagi dengan keadaan tentera marin Somalia, Kenya dan Yaman yang tidak berupaya mengawal pintu laut Laut Merah yang lebar dan panjang itu. Faktor ekonomi juga menjadi penyebab menurut sumber tersebut kerana kebanyakan negara di persisiran Laut Merah ini kaya-raya, akan tetapi para nelayan di Somalia dan Yaman kekal hidup daif dan melarat. Bolehkah subjek ini menjadi punca dan penyebabnya?
Saya tidak fikir begitu. Ini kerana berdasarkan fakta kes yang berlaku ini, lanun-lanun tersebut menggunakan bot yang canggih dan bersenjata prelancar roket, pelancar granade, GPS, berpengetahuan dalam peta laluan kapal antarabangsa. Mereka pantas bergerak pada waktu malam, mengejar kapal-kapal tangki dengan bot laju dan begitu mahir bertindak untuk naik ke atas kapal. Juga dikatakan kumpulan lanun ini mempunyai hirarki menyamai tentera marin dan kelihatan terlatih.
Mengapakah dari sekalian banyak kapal-kapal yang membelah Laut Merah itu, lanun-lanun itu lebih berminat untuk menawan kapal-kapal dari Malaysia? Lanun-lanun Somalia memilih kapal tangki Malaysia kerana mempunyai bekalan makanan halal yang banyak. Tindakan desperado mereka itu tidak boleh diwajarkan walau dengan apa alasan sekali pun. Perbuatan merompak tetap salah di sisi undang-undang. Apatah lagi dengan meragut nyawa yang tidak bersalah sekali pun warga Filipina yang bukan Islam.
Merompak bekalan makanan yang halal dalam jumlah yang besar? Merompak tetap haram walaupun dalam usaha mencari makanan yang halal. Mungkin ini juga satu faktor sampingan. Itu hanyalah satu teori saya yang merupakan pandangan peribadi. Mungkin pasaran makanan halal untuk keperluan umat Islam masih belum mencapai tahap yang boleh dianggap selesa. Walaupun ini merupakan satu juzuk kecil daripada punca berlakunya tragedi ini, satu usaha perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh oleh para pemimpin negara-negara umat Islam untuk memperluaskan pasaran produk-produk makanan halal di Timur Tengah dan Benua Afrika. Ini kerana, saya melihat produk-produk makanan mentah seperti ayam, daging lembu dan sebagainya dari Brazil, Perancis dan lain-lain yang membanjiri pasaran di sini kadang kala menimbulkan polemik di kalangan sebahagian penduduk yang mahukan kepastian soal halal-haramnya. Alangkah baik jika para pengeluar dari kalangan negara-negara umat Islam sendiri yang menguasai pasaran di rantau mereka.
Saya kira isu ini sudah berulang kali diperbincangkan di peringkat OIC. Kita secara umumnya mengetahui bahawa OIC tidak boleh diharapkan untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan di Palestin, serangan AS ke atas Iraq, Afghanistan dan mana-mana pun negara umat Islam yang menjadi sasaran seterusnya. Apalah yang boleh diharapkan apabila Pengerusi OIC yang 'kuat tidur' itu pernah mengungkapkan kata-kata yang cukup menyedihkan, "..apa kita boleh buat?" apabila mengulas tentang suasana umat Islam yang ditindas di mana-mana.
Sekurang-kurangnya, OIC sepatutnya boleh berperanan dengan lebih aktif lagi dalam hal ehwal makan-minum ini. Kerana itu tidak memerlukan kekuatan persenjataan yang besar atau pembangunan teknoloji nuklear yang boleh membuat AS menjadi berang! Kita tidak akan dituduh sebagai teroris apabila kita mahu berbicara soal ayam, itik, lembu, kambing dan sebagainya. Bukan sekadar berteori, tetapi yang penting ialah pelaksanaan. Bagaimana OIC mahu melaksanakan tugas berat ini apabila Malaysia yang dilihat sebagai negara contoh bagi dunia Islam sedang menghadapi krisis kepimpinan yang teruk. Suasana politik yang tidak menentu. Tentu 'lanun-lanun' seluruh dunia sedang memerhati dalam suasana pemimpin negara Malaysia yang tiada kredibiliti itu terus duduk di kerusi kuasa dan yang bakal menggantikannya pula bukanlah tokoh yang beragama. Sedang yang lain-lain pula sudah menggelepar untuk merebut kerusi-kerusi yang bakal dipertandingkan. Apa yang kita harapkan ialah peralihan kuasa yang bakal berlaku memberi keuntungan kepada Islam. "Ya Allah, janganlah Engkau jadikan orang-orang yang fasik memimpin negara kami".
Wednesday, October 15, 2008
AIR MATA RASULULLAH
- AIRMATA RASULULLAH SAW...
- Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. 'Bolehkah saya masuk?' tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, 'Maafkanlah, ayahku sedang demam', kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
- Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, 'Siapakah itu wahai anakku?'
- 'Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,' tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan.
- Seolah-olah bahagian demi! bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.
- 'Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia.
- Dialah malaikatul maut,' kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.
- Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
- 'Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?', tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.
- 'Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu.
- 'Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,' kata Jibril.
- Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. 'Engkau tidak senang mendengar khabar ini?', tanya Jibril lagi.
- 'Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?'
- 'Jangan khawatir, wahai Rasul ! Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat
- Muhammad telah berada di dalamnya,' kata Jibril.
- Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik.
- Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. 'Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.'
- Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.
- 'Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?'
- Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.
- 'Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,' kata Jibril.
- Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, karena sakit yang tidak tertahankan lagi.
- 'Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.'
- Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.
- Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, ! Ali segera mendekatkan telinganya. 'Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku'
- 'peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.'
- Diluar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan.
- Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.
- 'Ummatii,ummatii,ummatiii?' - 'Umatku, umatku, umatku'
- Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.
- Kini, mampukah kita mencintai sepertinya?
- Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi
- Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.
- NB:
- Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesadaran untuk mengingat maut dan mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita.