Sunday, October 19, 2008

BINGKISAN DARI YAMAN

Perairan Aden yang bergelora dalam tenang


Oleh: Imran al-Malizi

imran_almalizi@yahoo.com

Aden merupakan salah satu lokasi pelabuhan strategik yang juga merupakan bandar lama di negara Yaman. Bandar ini berada di satu semenanjung yang terbentuk secara semula jadi kesan daripada tinggalan gunung berapi yang tidak lagi aktif. Permukaan buminya itu sangat sesuai berfungsi sebagai sebuah pelabuhan utama para pedagang di zaman silam. Pemandangan bandar lama ini sungguh klasik dengan penempatan rumah-rumah dan binaan lama yang memahat lereng-lereng gunung. Pelabuhan ini pertama kali digunakan semasa pemerintahan kerajaan purba Awsan di antara tahun ke 5-7SM. Pelabuhan yang moden pula mengambil peranan bersebelahan semenanjung itu. Populasi penduduknya kini sudah melebihi 800,000 orang.

Bagi datuk nenek kita yang pernah naik haji dengan menaiki kapal yang belayar membelah lautan, pasti mereka akan bercerita tentang pelabuhan Aden yang menjadi persinggahan jemaah haji sebelum tiba ke Jeddah. Bagi para pelajar di Yaman yang ingin berlibur di waktu cuti pula, Aden boleh dianggap sebagai lokasi yang sangat ideal. Terutamanya bagi mereka yang gemar memancing ikan atau ingin mengutip kepah di persisiran pantai. Boleh dikatakan Aden adalah destinasi pelancongan yang utama walaupun pantainya tidaklah seindah Pulau Pangkor, Pulau Tioman atau Langkawi di negara kita dan cuacanya agak panas.

Namun begitu, lautannya yang tenang itu sesekali bergelora dengan insiden-insiden yang tidak dijangka. Masyarakat antarabangsa telah mengetahui tentang kejadian letupan kapal perang Amerika Syarikat USS Cole yang berhenti di situ untuk mengisi minyak pada 12 Oktober 2000. Yang terbaru, kita telah mengikuti drama tebusan kapal dagang MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 milik syarikat perkapalan negara, Malaysian International Shipping Corporation Berhad (MISC). Drama yang mencemaskan itu bermula pada 19 Ogos 2008 apabila kapal MT Melati 2 dirampas oleh lanun-lanun dari Somalia. Sepuluh hari kemudian pada 29 Ogos 2008 pula kapal MT Melati 5 pula yang membawa 30,000 MT bahan petroleum yang bertolak dari Yanbu, Arab Saudi dalam perjalanan melepasi Laut Merah menuju ke Singapura turut dirampas oleh lanun-lanun itu di Teluk Aden, perairan yang terletak di antara Somalia dan Yaman. Hasil perundingan yang dilakukan dengan penuh waspada, akhirnya pihak MISC telah berjaya menyelamatkan nyawa anak-anak kapal mereka. Walaupun drama ini sudah tamat dengan kepulangan mereka ke Malaysia pada 4 Oktober lalu, kejadian ini sekurang-kurangnya telah meninggalkan kesan dalam minda masyarakat antarabangsa bahawa perairan Teluk Aden yang merupakan pintu masuk ke Laut Merah ini bukanlah satu laluan selamat walaupun dianggarkan lebih 20,000 jumlah kapal melaluinya menuju ke Terusan Suez pada setiap tahun.

Persoalannya mengapa ini terjadi? Ada pendapat mengatakan bahawa lanun-lanun ini mahu memberi malu kepada kerajaan Somalia yang lemah dan mengamalkan pemerintahan tidak demokratik dan kuku besi. Ini diburukkan lagi dengan keadaan tentera marin Somalia, Kenya dan Yaman yang tidak berupaya mengawal pintu laut Laut Merah yang lebar dan panjang itu. Faktor ekonomi juga menjadi penyebab menurut sumber tersebut kerana kebanyakan negara di persisiran Laut Merah ini kaya-raya, akan tetapi para nelayan di Somalia dan Yaman kekal hidup daif dan melarat. Bolehkah subjek ini menjadi punca dan penyebabnya?

Saya tidak fikir begitu. Ini kerana berdasarkan fakta kes yang berlaku ini, lanun-lanun tersebut menggunakan bot yang canggih dan bersenjata prelancar roket, pelancar granade, GPS, berpengetahuan dalam peta laluan kapal antarabangsa. Mereka pantas bergerak pada waktu malam, mengejar kapal-kapal tangki dengan bot laju dan begitu mahir bertindak untuk naik ke atas kapal. Juga dikatakan kumpulan lanun ini mempunyai hirarki menyamai tentera marin dan kelihatan terlatih.

Mengapakah dari sekalian banyak kapal-kapal yang membelah Laut Merah itu, lanun-lanun itu lebih berminat untuk menawan kapal-kapal dari Malaysia? Lanun-lanun Somalia memilih kapal tangki Malaysia kerana mempunyai bekalan makanan halal yang banyak. Tindakan desperado mereka itu tidak boleh diwajarkan walau dengan apa alasan sekali pun. Perbuatan merompak tetap salah di sisi undang-undang. Apatah lagi dengan meragut nyawa yang tidak bersalah sekali pun warga Filipina yang bukan Islam.

Merompak bekalan makanan yang halal dalam jumlah yang besar? Merompak tetap haram walaupun dalam usaha mencari makanan yang halal. Mungkin ini juga satu faktor sampingan. Itu hanyalah satu teori saya yang merupakan pandangan peribadi. Mungkin pasaran makanan halal untuk keperluan umat Islam masih belum mencapai tahap yang boleh dianggap selesa. Walaupun ini merupakan satu juzuk kecil daripada punca berlakunya tragedi ini, satu usaha perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh oleh para pemimpin negara-negara umat Islam untuk memperluaskan pasaran produk-produk makanan halal di Timur Tengah dan Benua Afrika. Ini kerana, saya melihat produk-produk makanan mentah seperti ayam, daging lembu dan sebagainya dari Brazil, Perancis dan lain-lain yang membanjiri pasaran di sini kadang kala menimbulkan polemik di kalangan sebahagian penduduk yang mahukan kepastian soal halal-haramnya. Alangkah baik jika para pengeluar dari kalangan negara-negara umat Islam sendiri yang menguasai pasaran di rantau mereka.

Saya kira isu ini sudah berulang kali diperbincangkan di peringkat OIC. Kita secara umumnya mengetahui bahawa OIC tidak boleh diharapkan untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan di Palestin, serangan AS ke atas Iraq, Afghanistan dan mana-mana pun negara umat Islam yang menjadi sasaran seterusnya. Apalah yang boleh diharapkan apabila Pengerusi OIC yang 'kuat tidur' itu pernah mengungkapkan kata-kata yang cukup menyedihkan, "..apa kita boleh buat?" apabila mengulas tentang suasana umat Islam yang ditindas di mana-mana.

Sekurang-kurangnya, OIC sepatutnya boleh berperanan dengan lebih aktif lagi dalam hal ehwal makan-minum ini. Kerana itu tidak memerlukan kekuatan persenjataan yang besar atau pembangunan teknoloji nuklear yang boleh membuat AS menjadi berang! Kita tidak akan dituduh sebagai teroris apabila kita mahu berbicara soal ayam, itik, lembu, kambing dan sebagainya. Bukan sekadar berteori, tetapi yang penting ialah pelaksanaan. Bagaimana OIC mahu melaksanakan tugas berat ini apabila Malaysia yang dilihat sebagai negara contoh bagi dunia Islam sedang menghadapi krisis kepimpinan yang teruk. Suasana politik yang tidak menentu. Tentu 'lanun-lanun' seluruh dunia sedang memerhati dalam suasana pemimpin negara Malaysia yang tiada kredibiliti itu terus duduk di kerusi kuasa dan yang bakal menggantikannya pula bukanlah tokoh yang beragama. Sedang yang lain-lain pula sudah menggelepar untuk merebut kerusi-kerusi yang bakal dipertandingkan. Apa yang kita harapkan ialah peralihan kuasa yang bakal berlaku memberi keuntungan kepada Islam. "Ya Allah, janganlah Engkau jadikan orang-orang yang fasik memimpin negara kami".

No comments:

CHAT kAT siNi sKOt

panduan menjana pendapatan hebat di eBay Percuma!!!
Free chat widget @ ShoutMix

Find more photos like this on segenting camp